ALAM PERSEKOLAHAN aku bermula awal tahun 1957,di Sekolah Umum Kupang.Hari pertama persekolahan memang tidak ada langsung dalam ingatan.Seingat akau ayah atau emak tidak pernah bercerita tentang hari pertama persekolahanku saperti yang selalu diceritakan oleh keluarga-keluarga lain tentang kerenah anak-anak mereka pada hari mula persekolahan.Ayah tidak pernah ceritakan yang mereka terpaksa tunggu di luar bilik darjah hingga berminggu-minggu atau terpaksa hantar anak-anak hingga ke pintu bilik darjah.Aku mungkin tidak menimbulkan masalah seawal persekolahan.mungkin juga aku dibekalkan semangat kerana dua orang abang berada di skolah yang sama. Apa yang pasti,uniform sekolah ,baju putih,seluar pendek warna biru gelap dan kasut putih."Fung Keong"itulah jenama kasut terkenal ketika itu.Hujung minggu,emak akan basuh pakaian sekolah dan baju diletakkan "kanji" dan nila.Kanji bagi membolehkan baju bila digosok(seterika) akan membentuk saiz tegak dan lambat berkedut-kedut.Kasut pula diletak kapor jenis ketol macam bedak nyonya.Hanya sepasang itulah dipakai sepanjang tahun atau kalau boleh beberapa tahun.Selalunya seluar bahagian buntutlah yang cepat koyak kerana duduk di bangku kayu dalam kelas.Ketika itu,tidak ada kerusi dalam kelas kecuali kerusi guru.Murid-murid dibekalkan dengan meja panjang dan bangku.Satu meja dikongsi empat orang.Emak akan menampal semula bahagian yang koyak sama ada seluar atau baju.Memakai baju bertampal tidak menjadi masalah atau terasa malu.Mungkin ramai murid yang juga memakai baju atau seluar bertampal.Bagitulah sikapku sehingga ke sekolah menengah masih boleh memakai pakaian bertampal dan tidak merasa aib atau malu.
This entry was posted
on Friday, November 21, 2014
at 9:59 AM
and is filed under
Sejarah
. You can follow any responses to this entry through the
comments feed
.