ERTI SEBUAH KEHIDUPAN  

Posted by Cikgu Zack


Coretan ini ku mulakan dengan mengimbas kembali hari-hari yang ku lalui bermula antara yang masih ingat dengan yang samar-samar.Kesamaran akibat terlalu lama atau kecelaruan rakaman otak ku.Atau kemungkinan kesukaran ku hendak meletakkan mana dahulu yang harus ku nukilkan.Permulaan riwayatku dengan keluarga yang serba da'if di sebuah perkampungan terpencil daripada segala bentuk kemudahan.Sebuah kampung yang bila malam menjelma menjadi gulita kecuali waktu bulan mengambang.Setiap pergerkan pada malam hari memerlukan bantuan jamong atau cahaya pelita minyak tanah.
Seingatku,teratak kayu,berlantaikan buluh ,beralaskan tikar mengkuang ,dapur kayu bertungkukan batu dan tempayan tempat simpanan air minuman itulah kediaman kami sekeluarga.Kedua ibu bapa,dua abang dan seorang adik perempuan berteduh bawah satu bumbung rumbia yang perlu diganti apabila sampai usianya.Atap bahagian daput mungkin lebih tahan lama akibat disalai asap dapurkayu.Sumber air dari sumber air bawah tanah. Telaga digali berhampiran rumah.Syukur kerana telaga itu tidak perlu digali terlalu dalam kerana paras airnya tinggi,lebih kurang delapan kaki sahaja. Terdapat dua sumber mata air yang terpancar terus ke perigi atau telaga yang digunakan.Apa pun kami hanya memerlukan seutas tali untuk  mengikat timba bagi menaikkan air dari telaga.Itulah sumber air yang digunakan.Telaga asas tersebut masih wujud hingga ki cuma dibina tembok konkrit bagi mengelak haiwan atau sesiapa yang lalai terjerumus.
Teratak kayu yang dikelilingi pepohon buah-buahan diumpamakan sebuah shelly dusun resort zaman moden dan tidak memerlukan kipas angin atau yang seumpamnya.Kesejukan malam mengalahkan pendingin udara tahap 19C. namun kami hanya berselimutkan kain pulikat atau kain batik lusuh. Ruang tidor hanyalah kelambu sebagai pemisah.Teratak berdinding buluh yang dianyam menempatkan lima sekeluarga menjadi nukelias kepada beberapa keluarga yang terbina kini penuh dengan sejarahnya tersendiri.
AYAH
Seingatku,aku tidak pernah bertanyakan silsilah keturunan ayahku.Apa yang aku tahu,ayah cuma tiga beradik dan ayahku adalah anak bongsu dan dengan   panggilan popular Pak Su.Abang-abangnya selalu saja  bertandang dan aku membahasakan dengan panggilan Pak Long dan Pakngah.Ayah tidak mempunyai kakak .Aku,abang-abang dan adik perempuanku juga tidak berkesempatan bertemu nenek dan datok.Mereka kembali kepangkuan Illahi sebelum aku dilahirkan.Kami hanya mempunyai datok dan nenek disebelah emak.Jadi kami kehilangan sesuatu yang kebiasaan diperolehi oleh kanak-kanak iaitu kasih sayang datuk dan nenek dari jurai keturunan ayah.Ayah pula tidak suka bercerita tentang kehidupan bapanya.Sesekali ,ayah cuma menceritakan tentang nenek dan setahu kami nenek meninggal di Makkah ketika menunaikan haji.Tanah tapak teratak yang kami diami merupaka pusaka tinggalan nenek. Ayah lebih suka menceritakan bagaimana nenek dapat memiliki tanah tapak kediaman ayah sekarang .Tanah pusaka ini juga diwarasi oleh ayah 
Tanah status kampung ayah jadikan dusun.Disamping pokok durian tinggalan nenek,ayah juga menanam pokok-pokok durian,rambutan ,langsat dan cempedak.Sempadan dengan tanah jiran,ayah tanam nanas sebagai pagar sempadan.Prinsip ayah tentang tanaman amat mudah.Dia mahu anak-anaknya dapat makan buah-buahan tanpa membeli atau meminta-minta dari orang lain.Akhirnya,hasilnya dapat dikomersilkan.Malah anak-anaknya diajar menjadi usahawan .Apa tidaknya,bila tiba musim buah-buahan, anak-anak lelaki diajar berniaga buah rambutan di pekan hari iaitu setiap hari sabtu.Kadang-kadang datuk sebelah emak juga tumpangkan sireh untuk dijual.Setiap pagi pula meghantar cempedak goreng ke kedai-kedai kopi di pekan Kupang.Ayah dengan emak akan bangun seawal mungkin untuk menggoreng cempedak dan memasukkan kedalam raga atau bakul kecil untuk kami bawa ke pekan.Bila petang kami akan menyusul ke setiap kedai kopi untuk mengambil wang hail jualan .Kalau ada yang tidak habis dijual,kami akan ambil balik.Tuan punya kedai akan mengambil komesen 20 sen setiap seringgit hasil jualan.Jarang sangat berlaku tidak habis dijual. Rutin ini dilakjukan secara berglir-gilir antara kami tiga beradik. 
Musim buah-buahan merupakan ketika berkumpulnya saudara mara dan kawan-kawan ayah.Bila durian sudah mula gugur,ayah akan kumpulkan untuk buat" kenduri pulut durian"Semua ahli kampung dan kawan-kawan ayah akan di jemput dan disertakan dengan tahlil.Kebiasaannya kenduri makan pulut durian dibuat sebelah malam.Malam itu juga menjadi malam sembang-sembang  .Bermula dengan cerita benih-benih durian hinggalah ke aktiviti haraian .Diselang-seli dengan cerita-cerita lucu,dongeng dan akhirnya bila larut malam keluarlah  cerita hantu dan ramailah yang minta diri untuk balik.Manalah tahu takut nanti berjumpa hantulah pulak .Majlis seumpama itu akan berpindah dari rumah ke rumah bagi mereka yang mempunyai dusun durian dan tidak ketingglan datuk ku sebelah emak.Majlis yang seumpama ini juga akan dibuat apabila padi sudah dituai.Ramai yang ada bendang atau sawah padi,bila hasil diperolehi,mereka akan mengadakan kenduri kesyukuran makan beras baru.Kebiasaan disebut orang kampungku,"Kenduri padi baru".Semua ahli kampung akan dapat merasakan hasil tuaian sulung.
Suasana dan alam sekitar telah membentuk diriku juga menjadi sebahagian daripada ahli masyarakat desa.Desa yang mengajarku hidup perlu ketahanan mental dan fizikal.Perlu tahu mnyesuaikan diri dengan keadaan dan mempelajari kemahiran-kemahiran yang perlu diwarisi dari satu genarasi ke satu genarasi.Secara suka atau terpaksa akau harus lalui itu semua.Seawal usia lima hingga enam  tahun,sudah punya tanggungjawab menjaga lembu dan kerbau. Tahu menarik kerbau ketika membajak,tahu bahasa-bahasa mengarahkan kerbau bajak.Sok,chih dan ndoh.Daripada memandikan kerbau di sungai hinggalah memasukkan ke kandang.Mencari lembu-lembu yang tersasar kumpulan hinggalah menentukan supaya unggun api dinyalakan bagi mengelak nyamuk berpesta mneghisap darah-darah lembu.Memastikan rumput-rumput makanan ternakan mencukupi dan waktu ternakan terpaksa dikandangkan ketika musim padi muda.Mengumpul dan menyimpan jerami-jerami padi waktu padi dituai.Diajar secara tidak langsung merawat ternakan yang cedera.
 Ayah yang aku tahu kemudiannya,merupakan seorang yang proaktif.Seorang yang suka mencuba perkara baru. Dia cuba menternak biri-biri yang pada ketika orang kampung belum semua mengenli biri-biri.Ada yang bertanya boleh dimakankah dagingnya.Kesudahannya,ramai yang menggemari daging biri-biri apabila ayah menyembelih untuk kenduri jamu semua orang kampung.Aku melatih biri-biri jantan supaya menjadi jinak dan rakan bergurau waktu petang sebelum dikandangkan.Ayah juga mempunyai kerbau jantan yang mampu menarik balak.Juga merupakan salah satu pendapatannya.Sebagai servival atau usaha meneruskan kehidupan,ayah pasrah dengan ketentuan cara hidupnya.
Berbekal ilmu yang dipeljari ketika sekolah pondok,ayah bagitu mengambil berat tentang pendidikan agama anak-anaknya.Dia memastikan semua anak-anaknya boleh membaca al-quran dan melaksanakan iabadah-ibadah khususiah.Memastikan makanan yang masuk kedalam perut dan mendaging-darah anak-anak daripada sumber yang halal dan TIDAK SUBHAH.Pernah aku dimarahi kerana membeli sawi di tanam oleh orang Cina yang dipercayai menggunakan baja najis khinzir.Aku akur dan menghadiahkan sawi tersebut kepada lembu di kandang.Setiap maghrib hingga ke Isya' anak-anak mesti berada di surau.Disamping solat berjemaah,kami juga akan belajar membaca ai-quran.Itula rutin kehidupan anak-anak kampung ketika itu.Bermula dengan mengangkat air ke surau hinggalah boleh memasang lapu gaslin.
 Pada akhir-akhir kehidupannya,setelah isterinya meninggal,barulah ayah menceritakan sejarah hidupnya.Barulah kami sebagai anak-anak dan cucu-cucunya tahu bahawa orang yang mendapat panggilan Paksu Md.Noh telah menjalani satu detik kehidupan yang penuh dengan ranjau.Bermula daripada bapanya,datuk kami semua,keluarga seorang mualaf,menjadi anak tiri dan kemudiannya menantu yang dipinggirkan lantaran kemiskinan.Md.Noh bin Che Mat itulh nama yang terdaftar.Che Mat pastinya bin Abdullah kerana beliau seorang Cina yang merantau dan terdampar di sebuah kampung di pedalaman,mendapat ehsan dan seterus menganut Islam.Status MUALAF dari pandangan masyarakat Melayu diberikan kedudukan yang rendah.Malah ramai yang menganggap sebagai pengemis.Nilai ini juga tempias kepada anak-anaknya.Tidak hairanlah kehadiran keluarga datok kami,Che Mat sebagai keluarga pinngiran.
Perkahwinan Che Mat dengan Siti Khadijah tidak berkekalan.Setelah mendapat tiga orang anak,mereka bercerai.Che Mat hidup terumbang-ambing lantaran tidak memiliki rumah sendiri.Dahulunya beliau menumpang di rumah mertua .Beliau mencari nafkah dengan  berniaga akar-akar kayu herba, menjadi tukang urut,menjual ayam kampung dari satu pekan ke pekan lainnya.Beliau pernah difitnah sehingga ditangkap.Nasibnya baik kerana ada insan yang berhati mulia, menjamin beliau dan hakikatnya  tiada kes yang boleh didakwa terhadapnya. Ayah sememangnya tidak banyak bercerita tentang bapaknya.Malah kubur bapanya juga tidak pernah ditunjukkan kepada cucu-cucunya.Kami difahamkan,kubur datuk berada di kaki bukit perkampungan Mengkuang.Pernah satu ketika ayah menuding ke arah bukit yang di maksudkan ketika aku baru berusia 6 tahun.Itu saja dan aku hanya diam membisu.Anehnya,mengapa semua ahli keluarga Che Mat,anak-anak Pakngah dan anak-anak Paklong juga membisu hingga kini dan tidak mengusahakan untuk menjejak kubur datukku dan datuk mereka juga?ATAU apakah nasibmu sebagai seorang MUA'LAF?
Muka ayah kusam dan sedih bila menceritakan kehidupannya sebagai anak tiri.Mata ayah ditutup rapat mengepung air mata yang mungkin bakal mengalir.Ayah tidak boleh tidor serumah dengan emaknya.Tidak boleh makan bersama dengan bapak tiri dan keluarga mereka.Ayah sering kelaparan kerana makanan dihabiskan oleh adik-adik tirinya yang bukan seibu kandung.Ayah hanya boleh tidor di kebok padi.Tenaga empat kerat dikerahkan hari demi hari untuk mendapatkan nafkah  emak dan keluarga tirinya.  Pertolongan Allah tiba dengan menggerakkan insan berhati mulia mencadangkan ayah melanjutkan pelajaran di sebuah pondok berdekatan.
Ayah menjadi murid pondok yang setia.Menimba ilmu agama sebagai bekalan hidup.Tidak hairanlah,ayah bagitu istiqamah dalam mengerjakan ibadah baik dalam apa jua keadaan pun.Sepanjang perdampingan ku dengan ayah,ayah akan solat bila saja masuk waktu tidak kira tempat.Aku selalu berjemaah dengannya di pantai sungai ketika kami menangkap ikan.Ayah akan solat ketika memugar hutan.Ayah akan bangun tengah malam beribadah walaupun badan keletihan.Ayah bangun awal untuk solat subuh.Ayah baca surah kuat supaya anak-anak boleh hafal.Setiap tempat ayah bekerja,ayah pastikan ada tempat berteduh dan boleh mengerjakan solat.
Bagi mendapatkan  nafkah saraan waktu menuntut di sekolah pondok,ayah mengambil upah banting padi,petik buah pinang,petik kelapa dan apa jua kerja yang mendatangkan hasil.Kalau menumpang di rumah abangnya,ayah turut membantu mengerjakan sawah atau apa sahaja kerja asalkan tidak dituduh menyusahkan abang-abangnya.Kehidupan ayah makin tidak menentu apabila Jepun  menawan Tanah Melayu.Tentera Jepun selalu membuat operasi menangkap anak-anak muda untuk dijadiakan buruh kerahan membina landasan keretapi Burma -Tahiland.Sebagai jalan selamat,ada cadangan supaya ayah berkahwin.Mereka menjodohkan ayah dengan janda beranak satu yang kematian suami.Kebetulan janda tersebut anak kepada ketua kampung.Ayah diijabkabulkan dan menjadi suami dan bapak kepada bayi lelaki.Lantaran ayah tidak mempunyai kerja tetap dan rumah,ayah terpaksa juga menumpang dengan bapa mertuanya.
Sudah menjadi amalan dan kebiasaan bagi ayah.Dia akan membantu kerja-kerja mertuanya dengan apa jua keadaan.Malangnya,kerja-kerja sebegitu tidak menampakkan hasil untuknya.Maksudnya dia hanya menumpang bapak mertua tanpa mempunyai pendapatan sendiri untuk menyara keluarga.Ini tidak disenangi oleh bapa mertuanya.Kesudahannya,beliau dihalau dari rumah mertuanya.Ayah jadi bingung.Dimana dia hendak berteduh.Hendak menumpang saudara mara tidak mungkin kerana sudah punya isteri dan anak.Pengalaman lampau menjadikan ayah serik untuk menumpang orang.Rumah sewa tidak pernah ada dalam senarai kehidupan ketika itu.Ayah nekat keluar juga dan memberi pilihan kepada isterinya sama ada mahu kekal bersama keluarganya atau mengikutnya yang tidak pasti di mana tempat berteduh.Isteri ayah nekad,sanggup berkorban apa jua demi suaminya.Ayah sungguh bangga dengan sikap isterinya.
Ayah membangunkan pondok kecil atas tanah ibunya.Di pondok kecil itulah ayah membesarkan anak tirinya.Pengalaman sebagai anak tiri,ayah tidak sanggup lagi keadaan yang sama menimpa anak tirinya.Ayah jaga anak tirinya saperti anaknya sendiri.Anak tiri inilah yang menjadi abang sulung kami kemudiaannya.Malah kami juga tidak pernah merasakan bahawa abang sulung yang berlainan bapa sebagai orang asing.Dia sebenarnya abang kandung dari ibu yang sama.Itulah didikan daripada seorang ayah yang telah menempuh liku-liku kehidupan sebagai anak tiri.
Ayah terselamat daripada menjadi buruh paksaan tentera Jepun. Ayah sudah punya keluarga.Ayah juga tamat belajar di sekolah pondok. Membina keluarga dan menentukan masa depan anak-anak menjadi agenda utama ayah.Ayah bekerja keras siang malam.Siang mengambil upah menoreh getah.Petang memugar tanah dan malam menangkap ikan sungai.Waktu tidornya paling sedikit.Ilmu yang diperolehi daripada pengajian pondoknya,dipraktikkan.Meletakkan harapan yang tinggi terhadap anak-anaknya.Abang sulung yang juga anak tirinya,dihantar belajar agama di Pondok Tok Guru Haji YahayaKampung Pisangt sama dengan tempat beliau belajar dahulu.Anak kedua dihantar untuk belajar dalam aliran Inggeris dan mampu menyambungkan pelajaran ke Ibrahim School,Sungai Petani.Anak ke tiga,aku,disalurkan ke aliran Kebangsaan walaupun guru besar merayu supaya aku juga ikut aliran Inggeris.Aku juga terpaksa keluar daerah dan belajar di Sungai Petani juga.Bagi penduduk Baling ketika itu tidak terdapat sekolah menengah di daerah mereka.Jadi sesiapa yang hendak melanjutkan pelajaran terpaksalah keluar daerah. Adik perempuan seorang dihantar belajar aliran agama.Tamat sahaja darjah enam di sekolah Melayu,sambung di Yayasan Khairiah Kupang,nama yang popular menggantikan nama Pondok Kanpung Pisang dan seterusnya ke Maktab Mahmud,Alor Setar. Akhirnya  melanjutkan pelajaran ke Mesir.Adik bongsu yang lewat datang,lebih kurang sebelas tahun beza daripada kakaknya menjadi orang harapan ayah.Orang yang diharapkan dapat membantunya di kampung.

Ahli keluarga jalur keturunan daripada pihak ibu lebih ramai .Satu tradisi dibina oleh keluarga emak dengan mengekalkan satu nama yang akan diberikan oleh keluarga tertentu.Ayah emak,namanya Abdullah.Datuk emak namanya Salleh.Ayah emak akan menamakan juga anaknya Salleh ,adik bongsu emak.Salleh juga telah menamakan anaknya Abdullah.Harapan bagitulah seterusnya.Emak juga kematiaan ibunya waktu adik bongsunya,Salleh masih kecil.Emaklah menjadi kakak dan ibu kepada Salleh.Emak tidak mendapat pendidikan yang sempurna .Tidak bersekolah secara rasmi. Hanya mampu membaca al-quran atau kitab jawi.Ketika emak menjaga adiknya,satu musibah telah menimpa dirinya.Sebahagian daripada badan emak terbakar akibat pelita minyak tanah yang terbalik ketika mereka tidur. Sejarah hidup emak dengan keluarganya tidak banyak diceritakan terutama tentang suaminya yang pertama.Mungkin beliau ingin menjaga hati ayah,suaminya.
Bagi kami sebagai anak-anak,kami tahu emak berketurunan Melayu Patani,Siam.Malah bahasa yang dituturkan pun kekal bahasa Melayu Petani.Keluarga kacukan Cina dengan Melayu Petani membentuk rupa paras berbeza dengan penduduk setempat.Apa yang pasti genetik sebelah ayah,mata anak-anak semuanya sepet-sepet,warna kulit kuning langsat dan beberapa kelebihan lainnya.Pengorbanan emak amat besar.Mengharungi kesusahan bersama suami dan anak-anak.Pakaian tidak bersalin.Jauh sekali punyai barang kemas.Masih terbayang lagi bagaimana emak selalu menemankan anak-anaknya belajar sambil menganyam tikar mengkuang.Ketekunan emak menganyam ditemani  Liuk lintuk api pelita minyak tanah ditiup angin  .Walupun emak buta huruf tapi dia tidak buta kasih sayang dan semangat.Emak juga seorang isteri yang taat kepada suaminyanya.Tidak ada dalam sejarah kehidupannya membantah cakap suami.Mungkin emak faham penat jerih ayah mencari nafkah dan mencari harta untuk jaminan masa depan keluarga.
Memang emak kena jaga anak-anak.Kena masak untuk ayah dan anak-anak.Kena pastikan waktu makan tidak lewat.Ayah akan makan ikut masa kebiasaannya.Dia ajar anak juga makan sama-sama.Kalau lauk sikit sama-sama kongsi .Seminggu sekali emak akan buat sup tulang atau sup ayam kampung.Buat kerabu ulam-ulaman yang terdapat disekeliling rumah atau umbut-umbut yang ayah ambil dari hutan.Dari kecil dibiasakan dengan memakan ulam-ulaman.Ikan pekasam ikan sungai sentiasa ada.Kalau tetamu datang dan tidak ada lauk istimewa,emak akan masak lemak cili api ikan pekasam dengan jantung pisang atau jeruk pucuk mamang.Sambal belacan cicah ulam petai,kerdas dan sepaling kurang pun pucuk paku. Tetamu datang tidak dibenarkan balik sehinggalah mereka dijamu makan .Itu satu kemestian bagi orang Melayu Petani.Budaya ini menjadi amalan anak-anak emak dan ayah terutama adik perempuanku.Setiap hari dia akan masak lebih dan berikan kepada jiran-jiran terutama orang-orang yang daif.
Ayah tidak mmengharapkan emak buat kerja-kerja berat.Walau bagaimanapun,kalau ada kelapangan emak akan bantu ayah juga.Ke sawah waktu menanam atau waktu menuai padi.Kami sekeluarga akan ke sawah membantu ayah.Kami diajar cara menghela kerbau bajak,menanam atau menyedung dan mengetam atau kacip padi.Diajar cara memegang ketaman,mengikat gemal padi,membanting padi dan seterusnya menghindik lesung kaki.Semua proses difahami satu persatu.Itulah bekalan ilmu kemahiran penduduk kampung secara turun-temurun.Dari satu generasi ke satu genarasi sehingga berlakunya pemodenan.
Emak dan ayah dikurniakan kemahiran tersendiri.Emak pandai mengayam tikar,supet,lekar dan tikar kelarai.Makala ayah punya pelbagai kemahiran.Boleh sirat jala,buat bubu,lukah,serkap,takul,candek dan apa sahaja alat menangkap ikan.Kalau di darat jaring burung,perangkap kancil,napoh dan  landak.Daripada pandangan mata kasar,kehidupan kami sekeluarga memang daif,susah,tetapi jaranglah kami belapar.Setidak-tidaknya ada nasi untuk dimakan walaupun dengan minyak goreng ikan digaul dengan garam.Boleh dikatakan setiap hari menu kami hanyalah ikan sungai.Ikan laut seminggu sekali itu pun kalau ayah ada lebihan wang hasil jualan getah keping.Abang sulungku memang diberi kepercayaan oleh ayah untuk menoreh getah.Pada masa itu,getah kena dikepingkan.Susu getah ditakung,dibekukan,ditekan-tekan bagi nipis dan dimisinkan .Ada dua jenis mesin.Satu mesin licin untuk dinipiskan jadi keping dan satu lagi mesin bunga untuk dijadiakan corak.Kepingan getah yang siap dimesin,dijemor panas matahari untuk dikeringkan.Kepingan getah yang betul-betul kering akan mendapat harga yang baik.Setiap hari proses ini berlaku bermula seawal pagi hingga tengah hari.
TOK CHEIR WAK LAH
Haji Abdullah bin Hj.Salleh itulah nama sebenar ayah emak.Masyarakat kampung lebih mengenali beliau dengan panggilan Wak Lah.Cucunya membahasakan dengan panggilan Cheir Wak Lah.Cheir bahasa orang-orang Baling untuk sapaan kepada datuk lelaki. Kalau perempuan tok sahaja.Setelah kematian nenekku sebelah emak,cheir kawin lain dengan orang Sungai Dua ,Pulau Pinang.Tok Chik Fatimah tidak dikurniakan zuriat apabila menjadi isteri Cheir Wak Lah.Bila anak kedua datukku meninggal,datuk dan nenek kesunyian.Tok mengharapkan akau sebagai cucunya untuk menemani mereka.Aku tidak keberatan dan boleh dikatakan banyak masaku bersama datuk dan nenek.
Bila banyak masaku bersama datuk dan nenek,ayah dan emak boleh saja terima.Malah mereka mengharapkan aku dapat dididik dengan sempurna disamping membantu kerja-kerja datuk yang tidak pernah kurang.Wak Lah terkenal bukan sahaja sebagai ketua kampung malah punya banyak ternakan lembu dan kerbau.Pernah satu ketika lembu dan kerbaunya mencecah bilangan 30 ekor.Paling banyak lembu.Datukyang biasa kami panggik Chee Wak Lah,  juga tidak pernah mengharapkan nenek membuat kerja-kerja berat.Memadai dengan memasak untuk chee dan cucunya.
Setiap hari chee Wak lah  akan bangun awal dan menyuruh semua bangun untuk solat subuh berjemaah.Nenek merupakan makmum yang bagitu istiqamah.Selepas sarapan,datuk akan memastikan semua ternakannya pula mendapat makanan.Kalau bukan musim orang bersawah,semua ternakannya akan dilepaskan untuk cari makan sendiri.Lewat petang baru dicari dan dihela kekandang.Sekali lagi cucu-cucu yang  tinggal bersamanya akan memastikan semua ternakan berada dalam kandang.Pastikan unggun api dipasang bagi mengelak nyamuk menyerang ternakan ,tak kiralah berapa lama unggun api akan bertahan. Kebiasaannya,tahi lembu akan digunakan bagi mendapatkan asap dan boleh tahan lama.

  Aku kembali bersama keluarga apabila menjejak kaki ke bangku sekolah.Satu-satu sekolah rendah yang ada di Mukim Kupang ialah  Sekolah Umum Kupang.Terletak bersebelahan balai polis dan paling hampir dengan Pekan Kupang.Manakala rumahku hanyalah lebih kurang 700 meter  sahaja  di belakang sekolah. 

This entry was posted on Tuesday, January 1, 2013 at 5:25 AM . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

0 ulasan

Post a Comment