HARI KEMERDEKAAN  

Posted by Cikgu Zack in

Tahun 1957,hari Negara kita mendapat KEMERDEKAAN dari penjajah Inggeris,merupakan tahun yang juga bermakna bagi seorang anak kampung di pedalaman.Ketika itu cikgu berada dalam darjah satu di Sekolah Umum ,Kupang,Baling.Walaupun merdeka ,Baling masih dianggap "Kawasan Hitam".Kawasan yang menjadi tempat persembunyian komunis.

Seingat cikgu,tidak ada acara yang gah atau hebat sangat sempena sambutan Kemerdekaan, saperti yang dilakukan sekarang.Satu perhimpunan diadakan di padang sekolah.Guru besar berucap dan menyentuh tentang kemerdekaan dan di akhir ucapan diteriakkan Merdeka!,merdeka!,merdeka!......Pada masa itu kanak-kanak darjah satu apalah sangat yang difahamkan dengan kemerdekaan.

Selepas merdeka,masih kedapatan tentera British berulang-alik dari Kem Sungai Petani dan Butterworth ke sempadan Thailand/Siam di Betung dan Weng.Lambang pisau Kukri,lambang bagi tentera Gurkha yang berkhidmat di bawah Pasukan Tentera British pada kereta perisai dan trak-trak tentera membezakan anatara mereka dengan Askar Melayu(yang menggunakan lambang keris).Disebabkan Sekolah Umum Kupang terletak di tepi jalan raya utama menghubungkan Baling dengan Pulau Pinang dan Perlis di utara,setiap pergerakan konvoi tentera disedari oleh murid-murid.Terlintas sahaja kenderaan tentera,mereka beramai-beramai berlari ke pagar sekolah serta menjerit;merdeka! merdeka!......beramai-ramai.Ketika itulah askar-askar tadi akan melontarkan gula-gula atau biskut.Masing-masing berebut-berebut mendapatkan apa sahaja yang dilontar oleh tentera British tadi .



This entry was posted on Monday, August 31, 2009 at 3:10 AM and is filed under . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

0 ulasan

Post a Comment